Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima bahagian dijangka berlarutan hingga malam

Grafik amaran amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima bahagian di Sarawak hari ini sehingga malam disiarkan JMM di laman webnya.

KUCHING, Nov 22: Jabatan Meterologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima bahagian di Sarawak hari ini yang dijangka berlangsung sehingga malam.

Bahagian terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong dengan cuaca terbabit diramal akan berlarutan sehingga jam 8 malam ini.

Amaran tersebut dikeluarkan jam 5.45 petang tadi bagaimanapun JMM tidak menyatakan samada perairan Sarawak juga mengalami laut bergelora dan angin kencang tetapi telah mengeluarkan amaran laut bergelora dan angin kencang kategori pertama bagi kawasan perairan Barat Sabah dan Timur Sabah.

Kawasan perairan Sabah tersebut akan dilanda angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter sehingga Sabtu dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Manakala ramalan kaji cuaca JMM juga mendedahkan Sarawak akan mengalami hujan dari pagi, petang dan malam di satu dua tempat serta pendalaman esok dan Sabtu manakala diramalkan mengalami hujan dan ribut petir di satu dua tempat dan pendalaman sebelah pagi dan petang Ahad. — DayakDaily