Jurujual lelaki rugi RM17,000.37 akibat ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 22: Seorang jurujual lelaki lesap wang sebanyak RM17,000.37 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 32 tahun telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali menggunakan nombor 0323830296, kelmarin.


Katanya, suspek kemudian memberitahu yang nama mangsa telah digunakan untuk membuat kad kredit dan kad kredit tersebut telah digunakan sebanyak RM6,000.

“Sekiranya mangsa tidak ada membuat sebarang pengeluaran, mangsa dikehendaki untuk menghubungi kononnya Bank Negara Malaysia di talian 0350219103.

“Mangsa yang panik kemudian menghubungi talian berkenaan dan mangsa telah diberitahu suspek mereka boleh tolong mangsa untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada hari ini (Nov 22) pada pukul 10.30 pagi, mangsa telah menghubungi nombor telefon tersebut dan suspek telah meminta mangsa pergi ke bank.

Katanya, apabila sampai di mesin ATM Maybank Boulevard Miri, suspek telah menghubungi mangsa sekali lagi dan meminta mangsa mengikuti apa yang diberitahu olehnya.

“Mangsa kemudian diminta melakukan transaksi sebanyak RM17,000.37 ke akaun Affin Bank, atas nama Siow Chia Chee.

“Selepas itu suspek tersebut menyuruh mangsa membuang penyata Maybank tersebut dan tidak boleh membuat apa-apa transaksi selama enam jam.

“Lelaki yang menyedari dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily