‘Rembat’ barang kemas, tukang cuci ditahan polis

Suspek (dua dari kiri) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Dis 23: Seorang tukang cuci wanita ditahan pihak polis pada pagi Khamis keraya dipercayai “merembat” sebuah gelang emas bernilai RM3,600 dan beberapa minyak wangi berjenama dari sebuah rumah di sini.

Difahamkan, suspek berusia 51 tahun itu seorang warga tempatan, telah diupah untuk membersihkan sebuah rumah di Riam pada pagi Rabu.


Siasatan awal mendapati, suspek telah datang ke rumah mangsa sekitar jam 8 pagi pada Rabu untuk membersihkan rumahnya dan balik pada jam 5 petang hari yang sama.

Namun, sebaik sahaja dia selesai melakukan kerja-kerja pembersihan, anak pemilik rumah terbabit menyedari gelang emas milik ibunya bersama dua botol minyak wangi berjenama telah hilang.

Susulan kehilangan barangan tersebut, mangsa telah tampil membuat laporan polis.

Kurang 24 jam selepas laporan diterima pihak polis telah menangkap suspek di Jalan Ricemill sekitar jam 10.30 pagi Khamis untuk siasatan lanjut.

Turut ditemui barangan kemas yang dilaporkan hilang bersama minyak wangi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily