Remaja maut, motosikal hilang kawalan selepas melanggar anjing

Lokasi kemalangan.

KOTA SAMARAHAN, 25 April: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikatakan berasal dari Kampung Tembirat Tengah, Asajaya.

Katanya, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal dari arah kampungnya menuju ke Kota Samarahan pada jam 5.30 pagi.


“Semasa bergerak lurus, dipercayai mangsa telah melanggar anjing sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di klinik Asajaya oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily