Remaja maut dihempap lif barang di pasar raya di Bintulu

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

BINTULU, 11 April: Seorang remaja lelaki maut akibat dipercayai dihempap lif mengangkut barangan di sebuah pasar raya di Jalan Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.20 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu diketuai Tuah Damit dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan terdapat seorang pekerja pasar raya telah dihempap lif barangan gudang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pihak perubatan KKM yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa berusia 18 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis selepas pihak bomba membantu mengeluarkan dari lokasi kejadian. ― DayakDaily