Remaja lelaki maut selepas terlibat kemalangan di Simunjan

Gambar komposit menunjukkan keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan tersebut.
Advertisement

SIMUNJAN, 11 Nov: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan kendiri di jalan berdekatan Jambatan Kampung Sageng, di sini semalam (Rabu).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian dikatakan menunggang sebuah motosikal sekitar jam 6.30 petang.

Katanya, mangsa yang bergerak lurus dari arah Gedong menghala ke Jambatan Sageng dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

Advertisement

“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami retak di kepala serta luka di seluruh badan dan dia telah dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Bilik Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 12.02 pagi untuk rawatan susulan dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 pagi (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement