Remaja lelaki maut dalam kemalangan di Marudi

Mangsa diangkat oleh pihak Bomba dari lokasi kejadian.
Advertisement

MARUDI, 14 Dis: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Jalan Kampung Pemindahan Marudi, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.20 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setibanya di lokasi, didapati benar ada mangsa berada di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba kemudian mengangkat keluar mangsa dari dalam longkang tersebut.

Mayat mangsa berusia 15 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan Bomba kemudian berangkat ke balai selepas selesai tugas di lokasi kejadian manakala pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian. — DayakDaily

Advertisement