Remaja lelaki ditemui lemas di Sungai Kampung Giam

Kelihatan anggota keluarga mengecam mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Mac 10: Seorang remaja lelaki ditemui mati lemas di Sungai Kampung Giam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa, Mohd Fakrul Muhd Masino, 16, disahkan meninggal dunia oleh petugas.


Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 4.15 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.50 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung.

“Penduduk kampung dikatakan bertindak membuat selaman sendiri dalam sungai berkenaan yang dianggarkan sedalam 10 kaki sebelum menjumpai mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.15 petang,” katanya. — DayakDaily