Remaja ditangkap disyaki terlibat judi dalam talian di Matang Jaya

Kelihatan suspek semasa diperiksa oleh anggota operasi.

KUCHING, 5 Sept: Seorang remaja lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian (online) di Matang Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek itu,17, ditangkap di sebuah makan pada jam 6.50 petang.

Katanya, suspek yang berasal dari Petra Jaya itu ditangkap selepas anggota operasi menemui bukti termasuk kertas bertulis angka disyaki nombor ID dan kata laluan yang disyaki digunakan dalam perjudian tersebut.


Turut dirampas daripada suspek ialah satu unit telefon pintar dan wang tunai RM250.

Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. ā€” DayakDaily