PKR Sarawak gesa kerajaan selesaikan segera masalah ‘logjam’ dan banjir di Baram

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 6 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa pihak kerajaan menyiasat dengan terperinci kejadian ‘logjam’ di Sungai Baleh dan hasil siasatan perlu didedahkan kepada orang awam.

Ketua Cabang PKR Hulu Rajang Abun Sui Anyit menerusi kenyataan bersama Ketua Cabang PKR Baram Roland Engan turut menggesa kerajaan menyiasat punca kejadian banjir teruk yang melanda Baram baru-baru ini.

“Cerita yang hampir sama berlaku di Baram berkaitan alam sekitar, cuma bukan ‘logjam’ tetapi banjir yang berlaku agak luar biasa.

“Tidak seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Pada 4 September lepas Pekan Long Lama dilanda banjir yang agar luar biasa.

“Kampung–kampung di sepanjang sungai Baram dan cabang-cabangnya seperti Tutoh, Apoh dan Tinjar semakin kerap dilanda banjir besar,” kata mereka.

Tambah mereka lagi, pihak kerajaan terutamanya Jabatan Hutan Sarawak memberikan alasan kejadian hujan lebat sebagai penyebab kepada berlakunya ‘logjam’ di Baleh dan banjir yang melanda Baram.

Kata mereka, ini seolah-olah pihak berkuasa tidak sedar bahawa hujan telah berlaku sejak berzaman tetapi tidaklah kejadian banjir begini teruk pernah berlaku.

“Justeru PKR Sarawak menggesa agar kerajaan Sarawak mengambil tanggungjawab untuk membuat kajian segera untuk mencari kaedah menyelesaikan punca kejadian banjir besar yang sudah tiga kali berlaku tahun ini,” menurut kenyataan itu. — DayakDaily