Polis Kuching tahan 26 warga asing disyaki terlibat judi dalam talian

Mancha menunjukan set komputer dan telefon pintar yang dirampas.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Nov: Polis menahan 26 individu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mempromosi perjudian dalam talian di dua buah premis yang dijadikan pusat panggilan di Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kesemua individu iaitu 23 lelaki dan 3 wanita adalah merupakan warga asing dalam lingkungan umur 18 hingga 33 tahun.


“Polis Sarawak telah berjaya membuat tiga serbuan perjudian dalam talian iaitu serbuan pertama ialah pada 7 November lepas di sebuah kondominium di Lorong Dogan 3 dengan sembilan orang berjaya ditangkap.

“Manakala serbuan kedua dan ketiga telah dijalankan pada 8 November di sebuah kondominium di Sunny Hill Garden. Seramai 17 orang berjaya ditangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Tambah Mancha, berdasarkan rekod dan transaksi, sindiket yang telah beroperasi selama 15 bulan ini memperoleh keuntungan kasar RM240,000 sebulan.

Menerusi ketiga-tiga serbuan, polis turut merampas beberapa set komputer, komputer riba, modem WiFi, telefon pintar dan soket elektrik.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap pemilik sebenar premis yang digunakan,” kata Mancha. — DayakDaily