Remaja ditangkap buat aksi ‘Superman’, ibu bapa dan pemilik motosikal juga kena tempias

Sekitar operasi yang dijalankan di Jalan FAC Matang.

KUCHING, 23 Nov: Dua remaja lelaki ditangkap selepas melakukan aksi ‘Superman’ semasa menunggang motosikal di Jalan FAC Matang pada 20 November, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kedua-dua suspek berusia 16 dan 17 tahun itu ditangkap dalam operasi ‘Ops Samseng Jalanan’ iaitu sekitar jam 11 malam.

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Motosikal yang ditunggangi mereka juga disita dan ibu bapa atau pemilik motosikal juga diambil tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan suspek menunggang tanpe lesen,” katanya.

Beliau dalam kenyataannya itu juga memberitahu sebanyak 31 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi tersebut.


“Nasihat saya, gunakanlah motosikal sebaiknya-baiknya kerana ia adalah keperluan dan tidak seharusnya dijadikan bahan mainan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan orang lain.

“Patuhi undang-undang untuk keselamatan dan kebaikan bersama,” katanya. — DayakDaily