Referendum perlu peruntukan undang-undang

Wan Junaidi (tiga kiri) di forum anjuran SPA di Kuching semalam. Turut kelihatan Ng (dua kiri) dan Ahi (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Sept: Undang-undang berhubung referendum atau pungutan suara harus digubal bagi memberi hak kepada rakyat menyuarakan pandangan.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sehingga kini kerajaan masih belum ada undang-undang berhubung referendum.


“Keputusan berhubung perkara atau isu yang berkait rapat dengan rakyat hanya dibuat mengikut kehendak ahli-ahli politik.

“Masalahnya adalah referendum tiada di dalam perlembagaan, iaitu tiada peruntukan undang-undang untuk mengadakan pungutan suara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai forum Referendum dan Implikasi Undang-Undang di auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) malam tadi.

Wan Junaidi memberi penjelasan berhubung referendum dan keperluan undang-undang.

Antara ahli-ahli panel yang lain adalah presiden Sarawak Association of Peoples’ Aspiration (SAPA) Dominique Ng dan presiden Insititut Kajian Budaya Sarawak David Teng.

Pembentangan ahli-ahli panel pada forum tersebut menjurus kepada persoalan samada Sarawak harus kekal di dalam Malaysia atau sebaliknya.

Mengulas isu yang sama, Wan Junadi berkata referendum adalah satu bentuk undang-undang yang boleh diguna pakai untuk memartabatkan amalan demokrasi yang mengambil kira pandangan rakyat.

“Semua perkara kritikal termasuk isu yang sering menjadi perbualan rakyat, samada kita harus kekal atau tidak di dalam Malaysia, memerlukan referendum,” katanya.

Sementara itu, Ng dalam hujah beliau, berkata hanya melalui referendum sahaja kehendak rakyat Sarawak dapat dipenuhi.

Katanya, referendum adalah cara yang sah jika ia diberi peruntukan undang-undang.

“Jika Sarawak ingin mejadi sebuah negara, pertama undang-undang referendum harus digubal.

“Kedua, Dewan undangan Negeri Sarawak ada kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan referendum dan yang ketiga kita laksanakan undang-undang referendum ini.

“Jika rakyat Sarawak ingin bebas dan mengundi untuk bebas, maka ianya dapat diperolehi secara sah,” kata Ng.

Forum dipengerusikan Prof Dr Ahi Sarok dari Universiti Malaysia Sarawak. — DayakDaily