KUCHING, 15 Jun: Rakyat Sarawak tidak perlu gusar tidak berpeluang mendapat pekerjaan dalam kontrak atau perniagaan milik pelabur dari China yang semakin ramai bertapak di negeri ini.
Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg berkata rakyat tempatan tetap diberikan keutamaan dalam pengambilan tenaga kerja.
“Pengambilan pekerja dari kalangan rakyat tempatan adalah diberikan keutamaan. Hanya pekerja peringkat pengurusan tinggi yang tidak dapat dicari dikalangan warga tempatan akan diambil dari luar.
“Itu sudah menjadi polisi kerajaan, jadi tiada masalah,” katanya selepas merasmikan penutupan Kem Pembudayaan Produktiviti dan Inovasi Wilayah sarawak 2019 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Karim, yang juga merupakan Presiden Dewan Perniagaan dan Perdagangan Sarawak (SCCI) dan Ahli Lembaga Pengarah MPC, sehubungan itu, meminta rakyat Sarawak untuk mengalukan ketibaan pelabur China atau pelaburan asing lain ke negeri ini yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.
“Saya percaya lebih banyak pelaburan asing yang kita ada, maka lebih banyak projek dan peluang pekerjaan. Seterusnya, kita boleh mengurangkan masalah pengangguran. Jadilah lihatlah perkara ini secara positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas bahawa ada rakyat tempatan yang meluahkan kebimbangan mereka di media sosial tentang pelabur China yang mungkin tidak mengutamakan warga tempatan sebagai pekerja.
Ini termasuk projek terbaharu yang melibatkan pembinaan kompleks gas dan minyak bersepadu bernilai RM20.8 bilion dan seluas 400 hektar di Pulau Sari, Lawas.
“Pelaburan terbabit akan menawarkan peluang pekerjaan amat besar, sekitar 20,000. Saya tidak fikir warga tempatan boleh mengisi kesemua peluang pekerjaan itu, jadi kita akan masih perlu pekerja dari luar khususnya dari China,” katanya.
Abdul Karim, sehubungan itu, menggalakkan warga tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka sebagai pekerja, kerana hanya dengan cara itu mereka dapat menjadi lebih berdaya saing dan relevan kepada keperluan tenaga kerja dikehendaki pelabur asing dan juga ekonomi Sarawak. — DayakDaily