KUCHING, Jun 12: Penyelaras Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kapit Paren Nyawi menyalahkan kerajaan negeri kerana gagal menyiapkan Projek Jalan Pasir Nai, Pala Wong di Pelagus.
Ini berikutan insiden Jambatan Pasir Nai di Kaki Jeram Pelagus yang runtuh selepas perayaan Hari Gawai Dayak.
Menurut beliau, keadaan itu telah mengakibatkan kereta penduduk terkandas pada Jun 3 lepas dan penduduk terpaksa diangkat naik tongkang apat untuk sampai ke destinasi.
“Ini adalah kerana, Projek Jalan Negeri Sarawak yang telah diagihkan kos sebanyak RM9 juta itu masih lagi belum siap sehingga kini walaupun sedekad sudah berlalu,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Ironinya, tambah Paren, jambatan kayu yang menuju ke rumah panjang dibina atas ehsan syarikat persendirian dan dibaiki sendiri oleh penduduk.
Katanya, tujuan pembinaan jalan tersebut adalah sebagai alternatif kepada Jeram Pelagus yang berbahaya. — DayakDaily