KUCHING, 24 Mei: Pusat tuisyen termasuk tuisyen di rumah, pusat bahasa, pusat kemahiran, pusat bimbingan dan lain-lain yang berdaftar bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditutup bagi tempoh 4 minggu bermula 12 Mei hingga 7 Jun, 2021.
Arahan tutup tersebut di dalam senarai kemas kini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini.
Turut diarah tutup untuk tempoh yang sama adalah semua institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah selain dibawah KPM, pusat tahfiz dan institusi-institusi pendidikan lain.
Manakala IPT dibawah kawalselia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diteruskan secara dalam talian.
Menerusi kemas kini SOP PKPB itu, JPBNS menetapkan hanya murid sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang terlibat dengan peperiksaan antarabangsa sahaja dibenarkan hadir untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual peperiksaan yang telah ditetapkan oleh badan peperiksaan antarabangsa.
Dalam pada itu, pelajar IPT yang berkeperluan dibenarkan pulang ke kampus dengan mendapatkan surat kebenaran pergerakan bagi merentas negeri atau daerah dari IPT berkenaan.
Semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka adalah tidak dibenarkan kecuali kepada pelajar yang berkeperluan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Kerajaan.
JPBNS juga membenarkan peperiksaan antarabangsa dan badan professional serta aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT dengan mengikut SOP IPT berkenaan dan pergerakan perlu disertai dengan pengesahan oleh KPT atau IPT berkaitan.
Manakala bagi pelajar yang berada di sekolah berasrama, universiti atau institusi dibenarkan untuk berada di tempat masing-masing dan meneruskan pembelajaran secara hibrid.
Pergerakan pulang pelajar yang berada di asrama atau Institusi Pendidikan adalah secara berperingkat mengikut ketetapan pihak KPM, KPT atau IPT serta JPBNS.
Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan ini adalah dibenarkan dengan surat kebenaran dari pihak KPM, KPT atau IPT. — DayakDaily