Bomba bantu JPBB Miri hantar 2 tan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Mulu

Lee (ketiga dari kanan) menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada Bomba untuk dihantar ke Mulu bagi membantu mangsa banjir.

Juetila Ozzy
MIRI, 24 Mei: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini membantu menghantar dua tan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Mulu dengan menggunakan helikopter.
Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata Unit Udara Bomba Malaysia melakukan empat penerbangan dengan setiap penerbangan membawa bekalan makanan kira-kira 500 kilogram.
Jelasnya proses penghantaran bekalan makanan tersebut dimulakan dari jam 9.30 pagi tadi dengan helikopter diterbangkan oleh Kapten Faridullahamin Mohd Noh dan dibantu oleh Sarifudin Ladulu serta Robert James.
“Dengan bantuan Bomba maka semua bekalan bahan makanan yang diperlukan mangsa banjir telah pun berjaya dihantar dan saya juga dimaklumkan situasi terkini di Mulu iaitu paras air sudah surut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Penghantaran bantuan bekalan makanan tersebut dengan tempoh penerbangan kira-kira 30 minit dari Miri ke Mulu adalah dengan menggunakan pesawat jenis Agusta AW139 milik JBPM Miri yang berpengkalan di Pengkalan Operasi Udara Bomba Miri.
Sementara itu, Ketua JBPM Sarawak Zon Miri Law Poh Kiong turut menyampaikan perhargaan kepada JPBB Miri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) atas kerjasama yang diberikan selama ini.
“Bagi pihak Bomba, kami akan terus membantu terutamanya membuat pemantauan udara selain melakukan penghantaran makanan kepada mangsa banjir,” katanya.
Beliau turut melaporkan hasil tinjauan semalam, banjir di kawasan Ulu Baram beransur surut dan telah mengalir ke hilir.
“Bagaimanapun, pemantauan di kawasan hilir Baram oleh pasukan bomba dengan menaiki bot pada petang semalam mendapati bahawa ada peningkatan paras air sungai namun masih lagi terkawal,” katanya. — DayakDaily