Oleh Chris Bishop
BAU, 16 Okt: Pusat Redeems di Kampung Apar, Bau sekali lagi akan menganjurkan larian antarabangsa Borneo Spartan Trail Classic pada bulan Oktober tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Pusat Redeems Datuk Peter Nansian Ngusie, pihak penganjur telah mengesahkan perkara tersebut setelah kejayaan edisi pertama yang berakhir hari ini.
“Terima kasih kepada kerajaan dan pihak penganjur yang telah memilih kawasan ini yang sememangnya amat sesuai.
“Pada tahun hadapan larian yang sama akan diadakan di sini dan dianjurkan dengan skala lebih besar,” kata Nansian ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah hari ini.
Untuk itu, jelas Nansian, pihaknya akan berusaha untuk menjadi Pusat Redeems mesra pengguna dengan menyediakan banyak lagi kemudahan kepada para peserta.
Katanya, bagi penganjuran kedua pada tahun hadapan pihak penganjur mensasarkan seramai 3,000 pelari dalam dan luar negara.
“Pihak penganjur mengakui larian edisi Kuching ini adalah merupakan larian paling mencabar di Asia Tenggara.
“Oleh itu kita yakin ia bakal menarik ramai lagi pelari untuk datang menyertainya pada tahun hadapan,” ujar Nansian.
Larian pada tahun ini telah disertai 1,700 pelari dari 10 buah negara yang antaranya ialah Ethopia, Kenya, USA, Germany Filipina, Hong Kong, Kenya, Sepanyol dan Singapura.
Lima kategori lelaki dan wanita di pertandingkan iaitu larian 100km, 50km, 21km, 10km dan 7km termasuk ketegori 1km dan 3km bagi kanak-kanak. — DayakDaily