Malim Gunung Kinabalu Daved Simpat juara larian 100km Borneo Spartan Trail Classic

Daved juara larian 100km "Borneo Spartan Trail Classic".

Oleh Chris Bishop

BAU, 16 Okt: Malim Gunung Kinabalu Daved Simpat muncul juara kategori utama larian 100 kilometer (km) “Borneo Spartan Trail Classic” yang diadakan di Pusat Redeems Kampung Apar di Bau hari ini.

Daved, 40, yang berasal dari Kota Belud, Sabah mencatatkan masa 17 jam jauh meninggalkan pemenang tempat kedua yang merekodkan masa lebih 20 jam.

Dengan kemenangan itu, beliau memenangi hadiah wang tunai USD2,500.

“Trek bagi larian ini sangat mencabar dengan keadaan yang sangat licin. Tetapi saya sudah biasa dan bersedia untuk semua ini.

“Saya juga sudah biasa dengan larian 100km ini di Sabah dan sering juga menyertai larian di luar negara seperti di Hong Kong dan Thailand,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah hari ini.

Pengerusi Pusat Redeems Datuk Peter Nansian hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Tambah Daved, Borneo Spartan Trail Classic yang julung kali diadakan di Sarawak menyediakan hadiah wang tunai yang lumayan.

Justeru beliau yakin ia sudah tentu bakal menarik perhatian pelari-pelari dalam dan luar negara pada tahun hadapan.

Larian pada tahun ini telah disertai 1,700 pelari dari 10 buah negara yang antaranya ialah Ethopia, Kenya, USA, Germany Filipina, Hong Kong, Kenya, Sepanyol dan Singapura.

Lima kategori lelaki dan wanita di pertandingan iaitu larian 100km, 50km, 21km, 10km dan 7km termasuk ketegori 1km dan 3km bagi kanak-kanak. — DayakDaily