Pusat judi ‘online’ untung RM150,000 sebulan diserbu

Polis menjalankan siasatan selepas berjaya menumpaskan pusat judi 'online' tersebut.

KUCHING, 13 Julai: Sebuah lagi pusat operasi judi online diserbu dengan empat lelaki dipercayai operatornya ditangkap dalam satu operasi di Kuching City Mall, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan diketuai ASP Omar Anis sekitar jam 2.55 petang.

Beliau memberitahu, siasatan polis mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak April tahun lepas dan menjana keuntungan kasar RM150,000 sebulan.


Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun dan merupakan warga tempatan.

“Keempat-empat suspek yang mendiami unit perumahan itu dipercayai bertugas sebagai operator dengan gaji antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas dalam operasi ialah 5 unit komputer riba, 4 unit modem, 7 telefon pintar dan 2 buku nota.

Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily