Pusat judi dalam talian raih untung RM180k sejak tiga bulan lalu digempur

Suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 5 Jan: Sebuah pusat operasi judi dalam talian raih keuntungan RM180,000 sejak dua bulan lalu digempur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata tujuh individu termasuk tiga warganegara Indonesia dipercayai operator pengendalian kegiatan perjudian dalam talian tersebut ditangkap untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.


“Satu serbuan Op Dadu dijalankan kira-kira jam 6.30 petang ke atas sebuah rumah dua tingkat di Tabuan Tranquility, yang dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan perjudian dalam talian.

“Empat warga tempatan dan tiga warganegara Indonesia ditahan merupakan pekerja yang mengendalikan pusat perjudian berkenaan sejak tiga bulan lepas dengan bayaran sebanyak RM1,300 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, setiap suspek juga akan dibayar bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket tersebut.

“Sindiket mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat, Skype dan Facebook.

“Siasatan awal mendapati pusat berkenaan yang beroperasi sejak tiga bulan lepas telah memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM2,000 sehari dengan jumlah keseluruhan keuntungan mencecah RM180,000,” jelasnya.

Tegasnya, polis kini sedang berusaha mengesan pemilik rumah berkenaan.

Beliau menambah pasukan serbuan turut merampas dua unit monitor komputer, dua unit pemprosesan komputer (CPU) serta peralatan-peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily