Pusat judi dalam talian diserbu

Polis menahan enam suspek di sebuah rumah di Jalan Stampin.

KUCHING, Mac 17: Operasi sebuah pusat transaksi perjudian dalam talian di sebuah rumah di Jalan Stampin di sini berjaya dilumpuhkan menerusi satu serbuan yang dilakukan pasukan polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, seramai enam individu berusia antara 16 hingga 37 tahun telah diberkas.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis sebelum ini.


“Berdasarkan maklumat risikan, sindiket tersebut telah menjalankan operasi secara langsung kepada kaki judi.

“Sindiket itu akan menyediakan nombor ejen melalui aplikasi WeChat, Facebook, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau iklan-iklan lain kepada kaki-kaki judi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, kesemua suspek terbabit dipercayai berperanan sebagai ejen tempatan yang diupah sindiket judi dalam talian dari Semenanjung.

Katanya, hasil serbuan itu, polis juga telah merampas 14 telefon bimbit, tiga komputer, kertas-kertas rekod dan peralatan WiFi yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama dua hari.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953,” katanya lagi. — DayakDaily