Pusat Interpretasi HOB di Lawas 88 peratus siap

Awang Tengah melawat tapak projek pusat interpretasi HOB di Lawas yang telah 88 peratus siap.

KUCHING, 17 Dis: Pusat Interpretasi Heart of Borneo(HOB) yang terletak di kawasan Hutan Simpan Kayangeran, Lawas telah 88 peratus siap.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pusat tersebut merupakan satu-satunya pusat seumpama itu di Sarawak.

“Project Heart of Borneo (HOB) ini merupakan satu kolaborasi di antara Malaysia, Indonesia dan Brunei dimana kita amat komited dalam usaha menjaga hutan kita.


“Apabila siap kelak, pusat ini akan menempatkan galeri awam, pejabat pengurusan dan penyelidikan spesis-spesis yang ada di dalam kawasan yang diisytiharkan di bawah projek HOB,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pusat interpretasi tersebut semalam.

Setelah selesai, Awang Tengah berharap pusat interpretasi tersebut akan menjadi nadi utama kepada pengurusan projek HOB.

Ia juga diharap dapat menjadi kawasan tarikan eko-pelancongan di Lawas.

Menurut beliau lagi, fasa kedua pembangunan pusat interpretasi tersebut akan melibatkan pembinaan infrastruktur di kawasan hutan simpan di sekitar pusat tersebut. —DayakDaily