PRU15: GPS lawan sesiapa sahaja — Abang Johari

Abang Johari berucap di Program Sarawakku Sayang di Engkilili.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak gentar kepada mana-mana parti termasuk dari Semenanjung Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS tidak berkompromi dan menentang sesiapa sahaja.


“Saya tidak berkompromi, anda datang kita lawan demi rakyat Sarawak.

“Kita Sarawak ada semangat Rentap, ada semangat Sharif Masahor. Kawasan ini dikenali sebagai kubu kuat Rentap.

“Maka jangan menyerah kalah seperti semangat Rentap,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Program Sarawakku Sayang di Dewan Serba Guna Engkilili di Sri Aman hari ini.

Tambah Abang Johari yang juga pengerusi GPS, sewaktu krisis politik negara pada 2018, Perikatan Nasional (PN) telah memohon pertolongan daripada beliau.

Katanya, PN mohon sokongan GPS sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri.

“Maka dengan sokongan yang diberikan GPS ketika itu, sudah ada perjanjian bahawa Sarawak jangan diganggu.

“Tiba Pilihan Raya Negeri, ada orang datang, janji sudah ada tetapi menjadi calon Bebas menentang GPS, cakap tidak serupa bikin.

“Hari ini pun dia datang lagi tapi saya tidak peduli sebab ia adalah amalan demokrasi,” katanya.

Di majlis tersebut, Abang Johari menggesa penduduk Engkilili untuk memberi sokongan kepada calon GPS Roy Gingkoi di kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, ia penting bagi membolehkan Engkilili membangun seperti daerah lain di Sarawak demi kebaikan penduduknya.

“Kalau Batang Ai maju, orang Engkilili jangan cemburu kerana wakil rakyatnya bukan GPS.

“Bila kita hendak laksanakan pembangunan, wakil rakyat (pembangkang) kata tak boleh, bagaimana kita hendak sentiasa berlawan.

“Francis Harden (Adun Simanggang) senang saya runding, Malcolm (Adun Batang Ai) senang, Douglas Uggah (Adun Bukit Saban) senang, Snowdan (Adun Balai Ringin) senang saya runding.

“Di sini (Engkilili) tak dapat dirunding dan jangan salahkan saya,” ujar Abang Johari. — DayakDaily