PRU14: Harapan calon muda bakal tampil untuk memimpin kerusi Puncak Borneo

Wejok Tomik
Advertisement

KUCHING, April 23: Pengundi dan juga ahli-ahli dari Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di kawasan Parlimen Puncak Borneo menaruh harapan agar muka baru yang bakal ditampilkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di parlimen tersebut terdiri daripada calon muda yang lebih energetik.

Penghulu Joryim Ngayop berkata, pemilihan calon muda dilihat penting berikutan pertambahan bilangan pengundi khususnya dalam golongan belia di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pemilihan calon muda yang bersesuaian merupakan salah satu strategi terbaik untuk memenangi hati golongan tersebut supaya terus menyokong dan menaruh kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

Advertisement

“Di kawasan Puncak Borneo ini terdapat calon yang berkaliber tinggi seperti Kaunselor Wejok Tomik.

“Calon ini dilihat mampu membawa dan memimpin golongan muda melibatkan diri dalam inisiatif Ketua Menteri seperti pertanian moden dan mampu menjadikan Puncak Borneo sebagai hub penting bagi sumber ekonomi pertanian.” ujar beliau yang juga merupakan penghulu bagi kawasan Krokong.

Penghulu Lai Shey Hiong pula berkata, Barisan Nasional (BN) perlu merancang strategi untuk memenuhi kemahuan golongan muda yang di dalam fikiran mereka sentiasa mempunyai idea dan cadangan yang selari dengan zaman sekarang.

Katanya, pemimpin muda yang berwibawa dan berwawasan diperlukan bagi membawa Puncak Borneo seiring dengan inisiatif-inisiatif pembangunan yang dikemukakan oleh Ketua Menteri untuk mentransformasi Sarawak menerusi ekonomi digital amnya ke arah mencapai TN50.

“Pemilihan calon yang boleh menang itu tidak semestinya seseorang yang mempunyai kedudukan atau popular sebaliknya mereka yang diterima baik oleh rakyat secara keseluruhannya.

“Bagi suara pengundi-pengundi muda di kawasan Puncak Borneo juga berharap agar calon muda seperti Wejok akan diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo dalam PRU14 nanti,” ujarnya lagi.

Wejok merupakan anak jati kawasan Puncak Borneo dan beliau juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Daerah Bau. — DayakDaily

Advertisement