Wanita PBB memainkan peranan penting dalam menunaikan manifesto GPS

Fatimah (tengah) di Majlis Makan Malam Aspresiasi Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB.

KUCHING, 6 Feb: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memainkan peranan penting di dalam menunaikan semua 34 manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Ketuanya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, GPS adalah sebuah parti yang bertanggungjawab di mana kesemua janji-janji ini akan ditunaikan demi rakyat.

“Di peringkat kementerian, kita telah mengenalpasti beberapa manifesto yang kita boleh laksanakan untuk membantu kerajaan menunaikan janji-janji ini.


“Contohnya manifesto ketiga iaitu menjamin hak kesaksamaan yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia dan manifesto ketujuh membasmi kemiskinan di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Aspresiasi Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB di Kuching pada semalam.

Tambah Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Pergerakan Wanita juga boleh membantu memacu pembangunan ekonomi Sarawak melalui agenda ekonomi digital.

Katanya, ia telah dibuktikan semasa pandemik Covid-19 pada dua tahun yang lepas dengan teknologi digital memainkan peranan utama di dalam bidang perniagaan.

“Kemudiannya kita boleh membantu menunaikan manisfesto menjamin keselamatan negeri dan rakyat di mana asasnya adalah kestabilan keluarga.

“Meningkat kecekapan pengurusan bencana di mana golongan wanita boleh terlibat di dalam kesukarelawan.

“Mengukuhkan keharmonian dan kesejahteraan sosial juga satu tanggung besar yang boleh dimainkan wanita dan beliawanis.

“Membantu dan mempercepatkan anak Sarawak mendapat status kerakyatan di bawah Perkara 15(A) walaupun ia di bawah kementerian dalam negeri tetapi kita akan terus memperjuangkannya,” ujar Fatimah. — DayakDaily