Proton Iswara Aeroback rempuh Nissan Navara, lelaki warga emas temui ajal

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa dalam Proton Iswara.

SIBU, Mei 18: Tindakan cuai seorang lelaki warga emas memandu dengan melawan arus mengundang padah apabila dia maut selepas Proton Iswara Aeroback yang dipandu bertembung dengan sebuah Nissan Navara di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Kong Mok Nam, 80, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang memandu ke arah bandar Sibu dari arah Sibu Jaya.


Jelasnya, tindakan cuai lelaki itu memandu melawan arus telah menyebabkan berlakunya kemalangan di laluan berkenaan.

“Kesan rempuhan kuat tersebut telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badannya sebelum disahkan meninggal dunia.

“Nasib ternyata menyelebelahi pemandu Nissan Navara yang berumur 54 tahun apabila lelaki itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas jalan raya itu.

Ujarnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily