Golongan miskin Kemena tidak dibela, kata calon bebas Jame Stephen

Jame Stephen

KUCHING, 14 DIS: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal menyelesaikan isu kos sara hidup, kata calon bebas di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N69 Kemena Jame Stephen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jame turut berkata keerajaan juga gagal menangani kenaikan harga barang termasuk harga sayur dan makanan.

“Situasi ini merupakan beban yang besar khasnya kepada golongan pendapatan rendah,” katanya yang bertanding menggunakan lambang perahu.


Menurut Jame lagi, baru-baru beliau turut menerima permintaan daripada penduduk Kemena yang memerlukan bantuan makanan kerana tidak mampu menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga masing-masing termasuk susu untuk anak kecil.

Kecewa dengan situasi itu, beliau dan pasukannya telah mendirikan sebuah Food Bank di Bintulu serta menganjurkan pengedaran makanan percuma ‘Free Food Friday’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

“Kegagalan menteri GPS untuk menurunkan harga barang di Malaysia baru-baru ini membuktikan bahawa pemimpin tersebut tidak berjiwa rakyat dan lemah dalam tadbir urus ekonomi.

“Selama lebih beberapa dekad di bawah kerajaan, daerah Kemena juga gagal dibangunkan sebagai hub pertanian walaupun berpotensi tinggi,” ujar beliau.

Jame berpendapat bahawa Kemena yang berdekatan dengan bandar Bintulu adalah lokasi yang strategik untuk membangunkan sektor pertanian.

Jika diberikan fokus katanya, pelbagai hasil pertanian mampu diusahakan untuk menjamin sekuriti makanan rakyat Kemena dan juga untuk dipasarkan ke Semenanjung Malaysia dan luar negara.

Beliau bertekad untuk membangunkan sektor pertanian di Kemena termasuk lada hitam, buah-buahan dan sayur tempatan untuk pasaran antarabangsa.

“Inisiatif ini akan membantu mengawal harga barangan makanan tempatan, menjana ekonomi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Kemena khasnya golongan muda,” kata Jame.— DayakDaily