Projek Pembesaran Kampung Endap bakal manfaatkan 200 keluarga

Kelihatan Rubiah (dua dari kanan) semasa lawatan ke tapak projek di Kampung Endap. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 13 Mac: Pelaksanaan Projek Pembesaran Kampung Endap dijangka siap pada tahun hadapan dan bakal memberi manfaat kepada 200 keluarga.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), MP Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, ia juga memberi manfaat kepada keluarga di Kampung Sinaran Jaya dan Kampung Tanah Putih.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana meluluskan Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) di Kota Samarahan.


“Ia antara lain melibatkan Kampung Endap, Kampung Tambay, dan Kampung Sambir,” katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan semalam.

Jelas Rubiah, projek SPS dan SPK adalah berbeza daripada pemberian tanah lot dahulu kerana projek-projek tersebut turut menyediakan kemudahan lain seperti menambak tapak rumah serta penyediaan jalan yang lebih teratur.

Beliau berharap agar mereka yang terpilih tidak mensia-siakan pemberian skim tersebut kerana ia masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat yang memerlukan.

“Gunakanlah manfaat ini untuk membina rumah kediaman masing-masing,” ujarnya. — DayakDaily