Projek membaiki rumah untuk orang miskin perlu diteruskan, kata pengerusi MPP

Lo (dua dari kiri) berbincang sesuatu dengan Zuraida semasa mesyuarat tertutup sempena lawatan rasmi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ke MPP, hari ini.

KUCHING, Jun 21: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengalu-alukan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan kesinambungan projek membaiki rumah untuk orang miskin, terutama di dalam kawasan seliaannya.

Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata pihaknya juga amat menghargai sekiranya KPKT boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan semula projek-projek lain untuk golongan miskin seperti membina rumah baharu dan menyediakan bantuan sewa rumah.

“Di kawasan MPP, terdapat lebih banyak keluarga miskin yang masih belum mendaftar di bawah e-Kasih.


“Ini disebabkan ramai orang dari kawasan pedalaman telah berhijrah ke Kuching untuk bekerja dan sebahagian besar mereka tinggal di kawasan MPP,” katanya ketika menerima lawatan rasmi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di ibu pejabat MPP, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Penguang Maggil.

Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang menambah, MPP juga telah memohon bantuan membaiki rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar pada Disember 2017, yang kini masih menunggu kelulusan KPKT.

“Terdapat masih banyak permohonan untuk bantuan membaiki rumah yang diterima dan diproses oleh MPP dan kami berterima kasih jika KPKT boleh memberikan pertimbangan sewajarnya kepada 24 permohonan ini,” katanya.

Menurutnya, MPP telah melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar sejak 2008 dan pada tahun lepas, ia telah membaik pulih sebanyak 23 buah rumah.

“Jumlah peruntukan yang kami terima dari KPKT pada 2017 ialah RM344,493.

“Kesemua 23 rumah yang dibaiki juga telah diserahkan kepada ketua isi rumah,” katanya.

Lo berkata setakat Mei 24 tahun ini, terdapat sejumlah 4,672 keluarga miskin yang didaftarkan di bawah e-Kasih di kawasan MPP dan daripada jumlah tersebut, seramai 590 orang adalah miskin tegar. — DayakDaily