MPP mohon geran pembangunan lebih RM80 juta daripada kerajaan persekutuan

Lo (dua dari kiri) melihat Zuraida menandatangani buku pelawat semasa lawatan rasmi ke MPP.

KUCHING, Jun 21: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memerlukan geran pembangunan lebih RM80 juta daripada kerajaan persekutuan, kata pengerusinya Lo Khere Chiang.

Menurut beliau, geran tersebut amat diperlukan untuk melaksanakan beberapa projek penting bagi menyelesaikan masalah-masalah terutama banjir kilat yang dihadapi penduduk di dalam kawasan seliaannya.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan telah mengumumkan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bersahabat dengan PH (Pakatan Harapan). Sebagai kawan kita sepatutnya bersikap baik kepada satu sama lain.


“Saya berharap kerajaan persekutuan di bawah PH akan bermurah hati memberi lebih banyak geran pembangunan kepada MPP,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menerima lawatan rasmi daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di ibu pejabat MPP, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata sekurang-kurangnya RM20 juta diperlukan untuk membina semula longkang lama dalam kawasan perumahan Jalan Arang, yang dibina sejak 40 tahun yang lalu.

Beliau menambah MPP juga memerlukan RM20 juta untuk membina semula longkang lama bagi mengatasi masalah air bertakung di estet-estet perumahan.

Malah, katanya sekurang-kurangnya RM40 juta lagi diperlukan untuk memulihkan semula parit lama dan membina longkang konkrit di kawasan perumahan Desa Wira dan jutaan lagi diperlukan untuk menaik taraf parit tanah kepada longkang konkrit bagi skim penempatan semula Batu Kawa serta perkampungan-perkampungan yang terletak di pinggir bandar dalam kawasan MPP. — DayakDaily