Projek jalan akses ke kawasan selatan KIA bermula 2020 dengan jajaran baru disetujui

Silhouettes of workers on a construction site. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Ogos 5: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi satu kenyataan media hari ini menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berhubung projek pembinaan jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Untuk projek tersebut, JKR Sarawak memaklumkan satu jajaran baharu telah dicadangkan dan telah diluluskan Unit Perancangan Negeri (SPU) selain disetujui Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) pada bulan Mei 2019.

KKR setuju dengan syarat kos projek tidak melebihi siling RM129 juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (MEA) sebelum ini.

“Jajaran baharu dicadangkan setelah jajaran terdahulu melibatkan pengambilan unit kediaman yang banyak, rezab jalan yang sempit dan jajaran jalan yang berselekoh tajam.

“Alasan lain ialah pengalihan utiliti yang banyak, kos pampasan tanah yang tinggi, struktur rintangan tanah yang mahal dan gangguan kepada trafik sedia ada,” menurut kenyataan media JKR Sarawak.

Menurut JKR Sarawak lagi, jajaran baharu ini akan melibatkan 2 seksyen dan dibina dengan 2-lorong-2-hala dan sebahagian seksyen akan dibina dengan 4-lorong-2-hala.

Seksyen utama adalah untuk menyambungkan kawasan Stutong dengan kawasan Muara Tuang bagi menyuraikan kesesakan tafik di antara Kuching dan Samarahan.

Ia akan dibina kepada taraf ‘JKR U5 Standard’ dengan panjangnya kira-kira 6.5km dengan dua jambatan konkrit akan dibina untuk merentasi Sungai Stampin dan Sungai Kuap.

“Seksyen kedua adalah untuk menyambungkan Seksyen utama dengan kawasan Sungai Tapang bagi menyuraikan kesesakan trafik di antara Kuching dan kawasan Sg Tapang, kawasan Batu 7 serta Kota Sentosa.

“Jajaran ini juga akan dibina kepada ‘JKR U5 Standard’ dengan panjangnya kira-kira 1.3km dan satu jambatan konkrit akan dibina merentasi Sungai Sangkoh,” menurut JKR Sarawak.

Pasa masa ini, pihak JKR Sarawak sedang menjalankan kajian Impak Alam Sekitar dan kerja-kerja ukur tanah di sepanjang jajaran jalan ini, manakala proses perolehan perkhidmatan perunding untuk rekabentuk terperinci sedang dijalankan secara tender terbuka.

Selain itu, Value Assessment Lab (VA) untuk memuktamadkan skop dan kos projek ini bersama-sama dengan MEA juga telah dijadualkan pada bulan September ini.

Peruntukan tahun 2019 berjumlah RM20 juta akan diguna pakai untuk melaksanakan kerja-kerja awalan, rekabentuk dan pampasan tanah.

JKR Sarawak menjangkakan pembinaan jalan ini akan bermula dalam tahun 2020, mengambil masa selama 2 tahun dan akan disiapkan dalam tahun 2022. — DayakDaily