Program rintis BMTKM bantu nelayan Sebuyau – Mustapha

Mustapha (empat dari kanan) melakukan kunjungan hormat kepada Abang Johari (tiga dari kiri) di pejabatnya di Komples DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Mei: Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sarawak bakal melibatkan pemberian bantuan yang bertujuan meningkatkan pendapatan bulanan keluarga.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato Sri Mustapha Mohamed, program ini meliputi semua kawasan bandar dan luar bandar, tanpa mengira agama dan tiada politik.

Katanya, bagi program rintis yang dilaksanakan di Kampung Seberang Sebuyau, ia melibatkan 15 ketua isi rumah kategori miskin tegar.

“Pada semalam saya bersama Residen Samarahan dan ketua masyarakat telah melawat enam keluarga di Sebuyau dan mereka ini memang layak menerima bantuan.

“Kebanyakan mereka adalah nelayan dan akan diberi modal untuk membantu meningkatkan pendapatan, kini pendapatan mereka di bawah RM300 sebulan.

“Bagi nelayan bantuan melibatkan pembelian bot. Bantuan juga diberikan kepada ibu tunggal yang menyara hidup dengan menjual kuih.

“Program ini juga menyediakan bantuan kepada peniaga kecilan-kecilan,” katanya ketika ditemui selesai kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain Sebuyau, 9 lokaliti lain bagi program rintis ini ialah Gedong, Kampung Bakong di Lingga, Long Kajang di Belaga, Kampung Spaoh di Betong, Baram, Pakan, Lawas Daro dan Telang Usan.

Sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara telah dikenalpasti untuk program rintis Fasa 1 BMTKM yang dijadualkan pelaksanaannya mulai bulan Mei ini.

Tambah Mustapha, matlamat program BMTKM ini adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada tahun 2025 sepertimana yang telah ditetapkan pada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Sesi lawatan kerja saya adalah bertujuan untuk menyelaras perancangan agar pelaksanaan BMTKM di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual dan mencapai objektifnya,” katanya.

Tumpuan diberikan kepada Sarawak kerana ia merupakan negeri yang merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi dalam negara pada tahun 2019 iaitu 9.0 peratus berbanding dengan 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional. — DayakDaily