Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dilanjutkan sehingga akhir 2023

Silhouettes of workers on a construction site. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 11 Jan: Kerajaan bersetuju melanjutkan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga akhir tahun 2023 ini.

Menerusi program itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berada di negara ini diberikan pilihan untuk pulang atau bekerja dengan tampil berdaftar yang akan dikenakan caj bayaran tertentu.

Katanya, program rekalibrasi ini turut terpakai dalam sektor perkhidmatan khususnya pembantu rumah yang ketika bekerja dan tinggal lebih tempoh masa.

Advertisement

“Dalam negara pun sudah ada sejumlah pekerja asing atau Pati, mereka dah ada dalam negara, tidak ada dokumen sempurna, program ini mereka boleh datang dan bayar kompaun sama ada nak bekerja atau nak balik.

“Jadi ia lebih memudahkan, sektor pekerjaan terisi, dokumen difasilitasi, kenakan bayaran dan kita dapat kenal pasti mereka sebab rekod ada dan menjana hasil kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Saifuddin, kerajaan memberi jaminan keperluan memenuhi tenaga kerja asing tidak sama sekali menggadai pertimbangan kerajaan dalam membuat polisi ini dalam aspek keselamatan dan kedaulatan undang-undang.

Jelas beliau, aspek-aspek tapisan lain berhubung keselamatan tetap terpakai selain kebajikan pekerja asing tetap terjaga dan sektor-sektor ekonomi dapat memenuhi keperluan mereka.

“Kita faham akan ada kebimbangan lambakan pekerja asing, kerajaan ada siling keperluan pekerja asing yang munasabah iaitu sejumlah 2.4 juta menjelang 2025 iaitu 15 peratus dari jumlah tenaga kerja negara.

“Keperluan kerancakan ekonomi hanya bagi sektor kritikal. Ada sektor belum dibuka pekerja asing supaya ia diutamakan kepada tenaga tempatan.

“Ia tidak mengambil peluang kerja rakyat tempatan kerana ia hanya bagi pekerjaan 3D, peluang kerja rakyat tempatan tidak terusik,” katanya. — DayakDaily

Advertisement