Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018 memberi penjimatan harga dari 5-20 peratus.

Shahid (empat dari kiri) bersama kakitangan FAMA Sarawak menunjukkan poster program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018 yang dirasmikannya sebagai melancarkan program itu di Medan Niaga Satok.
Advertisement

KUCHING, Jun 12: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak telah melancarkan program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018 yang diadakan di tujuh pasar tani di seluruh negeri termasuk di Medan Niaga Satok, di sini, hari ini.

Pengarah FAMA Sarawak, Shahid Abu Bakar berkata program itu adalah bertujuan membolehkan orang ramai yang membeli barangan makanan dan keperluan menyambut Aidilfitri di tujuh pasar tani terbabit ada diberikan peniaga potongan atau penjimatan harga dari lima hingga 20 peratus.

“Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018 ini juga diadakan di Semenanjung dan Sabah dan bagi negeri ini program bermula hari ini sehingga Ahad depan dan dari jam 8 pagi sehingga 7 petang,” katanya selepas melancarkan program itu di Tapak Pakar A, Medan Niaga Satok, di sini, hari ini.

Advertisement

Shahid Abu Bakar berkata tujuh lokasi pasar tani di negeri ini yang mengadakan program terbabit ialah Medan Niaga Satok di Satok yang disertai seramai 500 peniaga, Pasar Tani Demak di Demak Laut Commercial Centre, Kuching (51 peniaga) dan Pasar Tani Bandar Baru Semariang di tempat letak kereta Bandar Baru Semariang Commercial Centre (32 peniaga) yang kesemuanya di bandaraya Kuching.

Peniaga pasar tani di Medan Niaga Satok yang disediakan tapak berbumbung kekal dan menyertai program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018.

Manakala yang bukan di bandaraya Kuching ialah Pasar Tani Permai di Taman Permai Sibu di Sibu (66 peniaga), Pasar Tani Daro di tempat letak kereta Pekan Daro (16 peniaga) dan Pasar Tani Tedungan di Kampung Belading, Tedungan di Limbang (38 peniaga).

Beliau berkata selain dapat membeli barangan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti anyaman ketupat, batang buluh lemang, daging dan sayuran, orang ramai yang berkunjung ke pasar tani ada program terbabit juga boleh membeli barangan keperluan temasuk gula, tepung dan minyak pada harga istimewa yang lebih murah.

“Tahun lepas jualan peniaga menyertai program ini di Medan Niaga Satok mencecah hampir RM463,000. Tahun ini kami mensasarkan jualan mereka akan mencecah lebih kurang RM550,000,”katanya, sambil menambah tahun ini seramai 500 peniaga menyertai program terbabit di Medan Niaga Satok yang kini sudah ada pasar tani berbumbung kekal yang cukup luas. — DayakDaily

Advertisement