Abdul Karim: GPS tidak akan menyertai PH

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Jun 13: Kerajaan Sarawak tidak akan memasuki dan menyertai Pakatan Harapan (PH) tetapi saling bekerjasama untuk kesejahteraan negeri dan negara, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau menjelaskan kerjasama tersebut adalah dalam semangat federalisme yang menjurus ke arah kebaikan kepada kedua-dua pihak.

“Mereka (kerajaan persekutuan) memerlukan kita (kerajaan Sarawak) dan kita memerlukan mereka juga.


“Jadi tidak salah kita bekerjasama. Walaupun berlainan parti, tidak semestinya kita tidak boleh bekerjasama.

“Ini adalah politik dan lagipun kita tidak ada bergaduh dengan PH,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan empat parti komponen Sarawak keluar BN dan kemudian mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Selain itu, Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan empat parti komponen Sarawak keluar BN sebagai satu perkembangan yang baik kerana sedikit sebanyak ia akan dapat merapatkan lagi perhubungan dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

“Hubungan dan kerjasama ini sangat kita perlukan kerana sebagai negeri yang masih lagi memerlukan pembangunan yang banyak, kita tidak boleh tersingkir dan menjauhi diri daripada kerajaan pusat,” katanya.

Empat parti komponen BN Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mengumumkan keluar daripada BN dan mewujudkan GPS.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN yang terakhir di ibu pejabat PBB, kelmarin. — DayakDaily