Polis tahan lelaki warga emas lakukan pertaruhan Piala Dunia 2018

Polis menahan suspek (dua dari kiri) selepas disyaki terlibat dalam pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2018.

SIBU, Jun 13: Tindakan seorang lelaki warga emas membuat pertaruhan membabitkan bola sepak Piala Dunia 2018 mengundang padah apabila dia diberkas polis di sebuah rumah di Rejang Park di sini malam tadi.

Suspek berusia 62 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sibu kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC, Dennis Leong Soon Kuai berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan.


Katanya, JSJ Sarawak telah melancarkan operasi membanteras pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 bermula 10 Jun lepas.

“Semasa serbuan dilakukan, suspek tergamam melihat kehadiran polis sebelum dia ditahan. Pemeriksaan lanjut menemui wang tunai berjumlah RM545 yang disyaki hasil pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2018.

“Antara lain, polis juga menemui dan merampas slip pertaruhan dan telefon bimbit yang disyaki digunakan oleh suspek menjalankan aktiviti perjudian haram,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dennis menambah, siasatan lanjut mendapati suspek sama turut menjual nombor loteri tanpa lesen sah.

Katanya, lelaki berkenaan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya lagi. — DayakDaily