Program ‘Info On Wheels’ platform penyampaian maklumat kepada rakyat

Aaron (duduk empat dari kanan) di Program ‘Info On Wheels’ di Rumah Silong baru-baru ini. Foto: UKAS

KUCHING, 26 Sept: Program ‘Info On Wheels’ (IOW) anjuran Jabatan Penerangan Sarawak (JAPEN) memberi peluang kepada rakyat setempat untuk mendapat maklumat terkini berkaitan inisiatif yang dapat dimanfaatkan serta mendekatkan mereka dengan pemimpin dan wakil agensi kerajaan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kanowit Rinta Engkamat berkata, program IOW mampu menyampaikan gambaran semasa berkaitan semangat Keluarga Malaysia kepada masyarakat pedalaman.

Untuk rekod, program serta rombongan IOW bagi kawasan Parlimen Kanowit telah bermula di Rumah Salang, Rantau Lugai di Ulu Ngemah pada 21 September lepas.

Sekembalinya dari situ, program singgah di Rumah Silong di Nanga Jagau bagi tujuan sama.

Antara yang hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan II merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Kehadiran para tetamu serta rombongan IOW di Rumah Silong telah disambut dengan tarian Ngajat serta upacara Miring oleh penduduk tempatan.

Selain penduduk Rumah Silong selaku tuan rumah, program tersebut turut disertai seramai 200 penduduk dari sekitar Nanga Jagau. — DayakDaily