Menara SMART beri kemudahan internet kepada 3 kampung di Tanjung Manis

Dr Zaidi (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada Yusuf di Program Randau Pembangunan Sosial.

KUCHING, 26 Sept: Dua menara SMART 300 fasa satu yang dibina oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) di Tanjung Manis memberi manfaat kepada penduduk di tiga buah perkampungan.

Menurut Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak, kedua-dua menara menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi pada penghujung tahun ini.

“Sebagai rekod, sebuah lagi menara telekomunikasi bertaraf 4G sedia ada terletak di antara Kampung Paloh, Kampung Kedang dan Kampung Berangan yang memberi perkhidmatan telekomunikasi kepada ketiga-tiga kampung tersebut,” katanya.

Zaidi berkata demikian di Program Randau Pembangunan Sosial yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir. Yusuf Abdul Wahab pada semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Dalam pada itu SMA mendapati penduduk di kawasan pesisir semakin memahami konsep ekonomi digital yang dipelopori oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut seorang penduduk Kampung Paloh, Affendi Sahari, 42, kebanyakan penduduk di Kampung Paloh adalah golongan B40.

“Aktiviti ekonomi penduduk kampung di sini adalah pertanian dan perikanan.

“Jika ada produk, penduduk kampung menjualnya kepada orang tengah,” katanya.

Tambah Affendi, sejak adanya rangkaian telekomunikasi di Kampung Paloh, produk kecil-kecilan dapat dijual melalui aplikasi Whatapps dalam kalangan penduduk.

“Jadi, harapan saya supaya Kampung Paloh dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jalan raya sebagai usaha untuk memasarkan produk ke kawasan luar,” tegasnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Kampung Berangan Jawing Jalau, 64, berkata, produk yang terdapat di kampungnya ialah kelapa, pisang dan jagung.

Jawing Jalau.

“Kami memahami dan bersedia dengan konsep pertanian cara baharu seperti yang sering dipromosikan oleh Premier kita.

“Dengan adanya rangkaian Internet kami bersedia beralih ke pertanian moden, namun kami berharap agar telekomunikasi ini ditambah baik,” jelasnya.

Manakala bagi tuai rumah Kampung Berangan Jammie Isan, 51, pula, selain produk pertanian, anak buahnya turut melakukan aktiviti perikanan.

Berangan Jammie Isan.

“Kami ada menangkap ketam dan mengusahakan tanaman lada. Selalunya kami menjual ketam dan lada kepada pihak ketiga,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap kemudahan asas di kawasannya ditambah baik agar dapat menghubungkan Paloh dengan kawasan luar.

“Memang kami mempunyai kemudahan asas termasuk rangkaian Internet tetapi kami mahu ia ditambah baik.

“Kami mempunyai tanah untuk diusahakan ke arah pertanian moden dan jika kami tidak tahu mengenai Internet, ada generasi muda yang mengajar kami,” ujar Jammie. — DayakDaily