Premis jual rokok haram di ladang sawit diserbu Kastam

Kelihatan kotak rokok yang dirampas oleh Kastam Sarawak.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jan 8: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Cawangan Miri telah melakukan serbuan dan merampas sejumlah rokok pelbagai jenama di sebuah kantin di ladang kelapa sawit, semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media hari ini berkata, dalam serbuan pada pukul 12.35 tengah hari itu, sebanyak 37,160 batang rokok telah dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM 3,344.40.


Jelas beliau, jumlah cukai kesemua barangan terlibat adalah sebanyak RM 27,230.85.

“Kita juga telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kesemua rokok pelbagai jenama yang dirampas itu belum lulus cukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, siasatan lanjut mendapati penjualan rokok-rokok berkenaan dipercayai bagi memenuhi permintaan daripada pekerja-pekerja ladang tersebut.

Katanya, rokok-rokok berkenaan telah disembunyikan di dalam bilik stor dan di bahagian bawah kaunter pembayaran premis berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” jelasnya. —DayakDaily