Premier Sarawak terima kunjungan hormat MACMA dan Rumpun Silat

Abang Johari (tengah) menerima kunjungan hormat MACMA Sarawak.

KUCHING, 5 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima dua kunjungan hormat di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kunjungan pertama adalah daripada rombongan Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak (MACMA Sarawak) yang diketuai oleh Pengerusinya Mohammad Tony Ong Abdullah.

Bercakap dengan media selepas kunjungan tersebut Mohammad Tony memberitahu, tujuan kunjungan berkenaan adalah untuk menyampaikan perkembangan terkini mengenai aktiviti yang telah dan akan dijalankan oleh persatuan.


ā€œPremier Sarawak (Abang Johari) telah menjadi penaung MACMA sejak tahun 90-an sehingga sekarang.

ā€œJusteru, tujuan kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk berterima kasih kepada beliau dan menyampaikan mengenai aktiviti-aktiviti dan program yang akan dijalankan nanti,ā€ katanya.

Abang Johari (empat dari kiri) merakamkan kenangan bersama rombongan Rumpun Silat Sarawak .

Sejurus selepas itu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Rumpun Silat Sarawak yang diketuai oleh Presidennya Muhammad Haneef Ali serta rombongannya.

Menurut Setiausaha Kerja Rumpun Silat Sarawak Mohd Azfar Ismail, kunjungan tersebut adalah bagi mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak atas kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 lalu.

Abang Johari turut diperkenalkan kepada Majlis Kerja Tertinggi Rumpun Silat Sarawak yang baharu. ā€” DayakDaily