Abang Johari: Sarawak Coastguard mempertahankan perairan Sarawak

Abang Johari memeriksa perbarisan anggota Sarawak Coastguard semasa majlis pelancaran di Tebingan Kuching.

KUCHING, 7 April: Sarawak Coastguard(SCG) adalah satu pertubuhan penting bagi mempertahankan perairan Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, ia disebabkan Sarawak kini dikenali sebagai wilayah Sarawak dan bukan lagi sebuah negeri, iaitu sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan negara Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.

Katanya, SCG juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk mewujudkan iklim yang terjamin bagi membolehkan dan menarik pelabur-pelabur asing dalam pembangunan negeri ke arah Sarawak maju pada tahun 2030.


“SCG juga akan memastikan para nelayan dan taman-taman negara dijaga serta tidak dicerobohi orang luar dimana Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan dan keselamatan para nelayan di negeri ini.

“Dengan penubuhan SCG ini, terbuktilah bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,’ katanya pada Pelancaran Sarawak Coastguard di Tebingan Kuching hari ini.

Tambah Abang Johari, SCG juga berperanan sebagai pembantu dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa lain samada Negeri atau Persekutuan.

Katanya, SCG akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Ordinan Negeri khususnya State Fisheries Ordinance 2003, Forest Ordinance 2015, Wild life Protection Ordinance 1998, National Parks and Nature Reserves Ordinance 1998 dan Oil Mining Ordinance (OMO) 1958.

Ujar beliau, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM90 juta untuk membeli aset untuk kegunaan SCG yang telah dibentangkan dalam belanjawan 2020 pada 4 November 2019.

“Hari ini kita dapat menyaksikan sebuah kapal dan 6 buah bot telah siap iaitu sebuah “Catamaran” dan 6 buah bot “Interceptor” dengan enjin berkuasa 1,050 kuasa kuda setiap bot.

“Pada tahun ini, 6 buah bot jenis Interceptor akan beroperasi di perairan Sarawak untuk menjaga keselamatan nelayan dan sumber asli Maritim di sepanjang pantai negeri ini,’kata Abang Johari.

Pada sidang media selesai majlis, beliau berkata SCG akan mengawasi perairan di Taman Negara Samalajau, Tanjung Datu, Talang Satang, Santubong, Limbang, Miri-Sebuti, Beting Patinggi Ali dan Taman Negara Bruit.

Tambah beliau, lima buah pangkalan juga akan diwujudkan iaitu di Mukah, Tanjung Manis, Bintulu, Miri dan Lawas.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Datu Dr Chai Khin Chung. — DayakDaily