Percepat proses tender bina baru jalan Kampung Sabun – Adun Simunjan

Awla (dua dari kiri) bersama Abang Johari di Majlis Perasmian Esplanade Simunjan.

SIMUNJAN, 20 Ogos: Adun Simunjan Awla Dris memohon kepada kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) mempercepatkan proses tender bina baru jalan Kampung Sabun di daerah tersebut.

Katanya, jalan itu nanti akan melalui belakang jalan Kampung Nanas ke Kampung Hijrah yang telah diluluskan sebanyak RM15 juta.

“Keadaan jalan Kampung Nanas yang agak sempit dan selalu rosak digunakan oleh kenderaan berat untuk tujuan pembinaan di sekitar Daerah Simunjan kurang selamat digunakan lagi.


“Selain daripada itu, cadangan jalan baru ini nanti adalah untuk laluan saluran paip yang baru memandangkan rumah kediaman penduduk di Kampung Nanas terlalu hampir dengan jalan raya dan menyukarkan penyambungan saluran paip baru.

“Disebabkan masalah ini, bekalan air bersih di kawasan Daerah Simunjan juga terjejas,” katanya dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Esplanade Simunjan hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam ucapan yang sama, Awla juga memohon kepada kerajaan untuk memandang serius masalah hakisan sungai di beberapa kampung di Simunjan.

Menurut beliau, isu tersebut amat membimbangkan dan memerlukan penyelesaian segera.

“Terdapat beberapa buah rumah di Kampung Sageng perlu dipindahkan dengan segera memandangkan terlalu hampir dengan sungai dan tidak selamat untuk didiami lagi.

“Oleh yang demikian saya ingin memohon kepada kerajaan negeri agar dapat meluluskan projek menahan hakisan di kampung Sageng Sabal dan Kampung Sageng Hulu sebanyak RM20 juta, Kampung Tebuan Iban RM20 juta dan Kampung Pantong RM20 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Awla yakin projek menahan hakisan di Tebingan Sungai Pekan Simunjan sebanyak RM75 juta yang telah diluluskan bakal memberi manfaat kepada penduduk apabila siap kelak.

Ia termasuk projek mendalam sungai dan membina pintu air di Kampung Kelka sebanyak RM15 juta.

Sementara itu, beliau juga memohon agar pembinaan bangunan komersial berhampiran pejabat Majlis Daerah Simunjan yang telah diluluskan dipercepatkan.

Katanya, kerja-kerja menembok tapak pembinaan 31 buah rumah kos rendah di kawasan tersebut sedang dalam pembinaan.

Pembinaan Esplanade Simunjan dengan kos RM1.25 juta telah siap sepenuhnya pada Januari 2022.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri dan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi. — DayakDaily