Premier Sarawak terima kunjungan Diocese of Kuching dan SMITH

Danald ketika ditemui selesai kunjung hormat terhadap Abang Johari.

KUCHING, 28 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada pihak Diocese of Kuching yang diketuai The Bishop Of Kuching, The Right Reverend Datuk Danald Jute di Wisma Bapa Malaysia.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Danald berkata, kunjungan adalah untuk memberikan penghargaan terhadap sokongan daripada Abang Johari kepada gereja termasuk sekolah mubaligh di Sarawak.

“Selain itu, kunjungan adalah untuk memberikan sokongan kami atas usaha baik dan dasar kebajikan kerajaan Sarawak.


“Dengan itu juga, kami mengemukakan permohonan untuk sokongan moral kerana gereja juga menjadi sebagai satu komuniti yang berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Danald, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.5 juta sebelum ini untuk Kompleks Pusat Latihan Anglikan di St Thomas Kuching.

“Dua tahun lepas, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk Kompleks Pusat Latihan Anglikan dan kemudiannya ditambah dengan RM1.5 juta.

“Dan sebentar tadi, secara tidak rasmi ataupun secara lisan, beliau meluluskan RM3 juta lagi,” jelasnya.

Sejurus selepas itu, Abang Johari juga menerima kunjungan Sarawak Innovation And Technology Hub (SMITH).

Rombongan yang diketuai Naib Presiden Kanan (Rantaian Bekalan) Premier Inc, David A. Hargraves dari Amerika Syarikat adalah untuk membincangkan perkara berkenaan peluang yang dapat diterokai di Sarawak

“Tujuan kunjungan kami adalah untuk meneroka peluang meningkatkan daya tahan rantaian bekalan di peringkat global.

“Ini susulan keperluan untuk mempunyai lokasi yang stabil dengan tenaga bersih dan komitmen terhadap kemampanan termasuk dasar buruh yang baik.

“Terdapat keperluan untuk mengembangkan rantaian bekalan yang memberi perkhidmatan kepada hospitaliti di Amerika Syarikat dan mencari rakan kongsi yang dipercayai.

“Jadi kami berjumpa dengan Premier Sarawak untuk berbincang mengenai perkara itu dan melihat jika ada peluang di Sarawak,” ujarnya. — DayakDaily