Premier Sarawak lulus 2 kertas kerja banteras salahguna dadah

Sutekno (dua dari kiri) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Abdul Karim (dua dari kanan) dan Fatimah (kiri). Foto: Ukas

KUCHING, 13 April: Dua kertas kerja yang diusulkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk dilaksanakan pada tahun ini telah diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Bilangan 1 Tahun 2022.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut di Bilik Mesyuarat Utama Wisma Bapa Malaysia semalam bersetuju mempertimbangkan Program Membanteras Penyalahgunaan Dadah dan Substans Di Tempat Kerja.

Ia turut melibatkan Program Kesedaran Awam AADK Bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak bagi sektor pengangkutan melibatkan institut memandu.


Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, dua kertas kerja yang dipertimbangkan itu akan dilaksanakan mulai Mei ini sehingga penghujung tahun ini.

“Program seumpama itu merupakan yang pertama dilaksanakan di Malaysia dan ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media selesai mesyuarat.

Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily