LUNDU, Feb 26: Tindakan empat pekerja mengorek pasir secara haram di Sungai Sebako di sini kelmarin mengundang padah apabila mereka diberkas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak, di sini malam kelmarin.
Tiga lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan anggota PPM di kawasan pengorekan pasir itu pada pukul 8.30 malam.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, Acp. Salehuddin Mat Zaman berkata, semasa serbuan itu, keempat-empat suspek sedang leka melakukan kerja-kerja mengorek pasir.
Jelasnya, kesemua suspek terkejut apabila menyedari kehadiran pasukan polis sebelum mereka ditahan.
“Semasa pemeriksaan lanjut dilakukan, keempat-empat pekerja terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan.
“Mereka gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen kapal, ‘barge’ serta mengorek pasir di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Salehuddin memberitahu, selepas gagal menunjukkan dokumen berkaitan, anggota PPM kemudian menyita pasir seberat kira-kira 350 tan yang dipercayai dikorek secara haram.
Katanya, anggota sama turut merampas sebuah bot tunda, ‘barge’ dan kren yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan haram tersebut.
“Satu laporan polis berhubung rampasan itu telah dibuat untuk tindakan lanjut.
“Kesemua barang kes akan diserahkan kepada kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak,” ujarnya lagi. — DayakDaily