Enam lelaki ditangkap dan rampasan RM3.085 juta dalam kes korek pasir haram di Sibu

Kapal yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

SIBU, 7 Sept: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menangkap enam lelaki termasuk tiga warga asing kerana disyaki melakukan kegiatan mengorek pasir secara haram semalam.

Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata sepasukan anggota PPM Sibu melakukan rondaan sebelum membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal di Pulau Dudong, Sungai Batang Rajang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kegiatan pengorekan pasir tersebut dijalankan di luar kawasan yang dibenarkan dan lesen pengorekan pasir juga telah tamat tempoh.

“Pasukan operasi kemudian menahan kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 52 tahun yang berada di atas kapal tersebut untuk membantu siasatan.

“Turut dirampas ialah sebuah kapal dan dua buah kren bersama muatan pasir dianggarkan keseluruhannya bernilai RM3.085 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kanun Tanah Negeri Sarawak.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily