PGA Batilion 10 patahkan sindiket korek pasir haram

Hasil rampasan daripada serbuan di Sungai Rajang-Salim Stabau, Sibu.

SIBU, April 5: Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batilion 10 berjaya menahan sebuah bot tunda yang disyaki mengorek pasir secara haram di Sungai Rajang-Salim Stabau di sini semalam

Pegawai Pemerintah PGA Batilion 10 Supt. Sanudin Md Isa berkata, serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu turut melibatkan pegawai dari Jabatan Tanah dan Survei Cawangan Sibu serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sibu.

Katanya, dalam serbuan sama, mereka turut merampas sebuah dum barge didaftarkan atas nama Promex 18.


“Dua buah kren jenama Hitachi dan kira-kira 1,500 tan hasil galian iaitu pasir juga dirampas.

“Pasukan sama turut menahan seorang lelaki Cina warga tempatan berumur lingkungan 50-an untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Sanudin memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Katanya, siasatan awal mendapati kapal pengorek pasir tersebut tidak memiliki sebarang dokumen atau permit menjalankan kerja-kerja pengambilan hasil galian dan batuan (pasir) di Sungai Batang Rajang.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Kanun Tanah,” ujarnya lagi. — DayakDaily