PPM Bintulu membuat rampasan kayu balak termasuk kapal kargo bernilai cecah RM4.6 juta

Kapal kargo berkenaan ditahan semasa rondaan Ops Benteng Covid-19 dijalankan di Kuala Batang Kemena, Bintulu.
Advertisement

BINTULU, 19 Jun: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas pelbagai jenis kayu balak dianggarkan bernilai RM185,800 dalam satu operasi di Kuala Batang Kemena, di sini semalam.

Komandernya ACP Shamsol Kassim berkata anggotanya menjalankan rondaan Ops Benteng Covid-19 menggunakan sebuah bot ronda dan menahan sebuah kapal kargo untuk pemeriksaan pada jam 9 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke Bintulu dengan membawa muatan kayu balak.

Advertisement

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal mengemukakan keterangan berkaitan Akta Kastam 1967 dan tiada pelepasan pelabuhan.

“Kapal kargo berserta kru dieskot ke Markas Operasi PPM Wilayah 5 Bintulu dan kes telah dirujuk kepada Jabatan Kastam Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedahnya juga, pihaknya turut menyita kapal kargo tersebut dengan pelbagai lagi peralatannya dianggarkan bernilai mencecah RM4 juta.

Turut ditangkap dalam operasi tersebut ialah lima lelaki warga tempatan dan seorang warga asing.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. — DayakDaily

Advertisement