Kuala Kemena yang semakin cetek akan diperbaiki, kata Abang Johari

Abang Johari tiba di Dewan Suarah Bintulu bagi Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina 2024 PDP.

BINTULU, 18 Feb: Kerajaan Sarawak akan menyelesaikan masalah nelayan di Bintulu dengan memperbaiki Kuala Kemena yang semakin cetek.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian kini sedang dilaksanakan bagi membina pemecah angin di kawasan tersebut.

“Kalau kita bina pemecah angin, bermakna kita akan melakukan kerja ‘dredging’ di Kuala Kemena.


“Ini sudah ada dalam perancangan kita,” kata Abang Johari di Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina 2024 Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing dalam ucapannya berkata, keadaan Kuala Kemena yang semakin cetek menyukarkan pergerakan nelayan.

Kata Tiong yang juga Presiden PDP, mendapan pasir kini semakin tebal dan kerja-kerja ‘dredging’ harus dilakukan sebagai penyelesaian.

Sementara itu, Abang Johari juga berharap Tiong boleh memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi pembinaan pemecah angin.

“Kalau Tiong boleh mohon dari Kuala Lumpur, lebih baik lagi.

“Kita kongsi kosnya ‘one to one’ untuk membangunkan Kuala Kemena,” kata Abang Johari. — DayakDaily